Header Ads

BACCOBOK SEMINIT : SAINS-LAH




Buku bertajuk 'Sains-lah : Catatan Saintis Muda' ini merupakan sebuah buku yang diterbitkan oleh Simptomatik Press pada April 2016. Ia merupakan sebuah imprin oleh Thukul Cetak Sdn. Bhd. Buku ini merupakan sebuah koleksi penulisan saintis-saintis muda di Malaysia yang mempromosikan kempen menanam minat ke dalam subjek sains.

Buku ini menceritakan pengalaman yang dialami oleh setiap saintis-saintis ini termasuk cabaran sepanjang penyelidikan mahupun pengalaman manis berharga yang dapat menjadi pemangkin semangat buat sesiapa yang berniat menceburi bidang sains. Ia ditulis menggunakan teknik penceritaan agar lebih mudah dibaca oleh pelbagai peringkat seterusnya menyampaikan emosi rasa untuk menjelmakan semangat mencintai subjek sains.

Pendahuluan buku ini menyertakan penulisan oleh Mohd Hasnul bin Mohd Sani dengan tajuk 'Full Metal Alchemist ke Sains Moden'. Beliau menceritakan tentang pengalaman beliau meminati bidang sains yang dirancakkan oleh cerita animasi yang bertajuk 'Fullmetal Alchemist'. Bagi yang ingin memahami bagaimana kisah tentang bidang alkimia sehingga membawa kepada penceritaan 'Elixir of Life', boleh mulakan pembacaan di bab pertama buku ini.

Tajuk-tajuk menarik lain yang turut mewarnai buku ini adalah seperti 'Misi Sains Yang Ummatik', 'Hidup Sebagai Penyelidik Jalanan', 'Ada Apa Dengan Teori Fizik', 'Penyelidikan Perubatan di Bumi Sakura', dan banyak lagi.  Terdapat lebih kurang 24 tajuk kesemuanya yang disusun di dalam buku ini dan memaparkannya melalui jalan penceritaan oleh saintis-saintis tersebut.

Penutup buku ini diakhiri dengan tajuk 'Cabaran Penyelidikan : Syok Sendiri' yang telah ditulis oleh Muhammad Musoddiq Jaafar. Di dalam penulisannya, disebutkan tentang definisi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sehinggalah perbincangan tentang anak muda dan generasi pelapis.

Buku ini turut mencoretkan harapan daripada mereka para saintis muda agar Malaysia pada suatu masa nanti dapat meningkatkan kualiti penyelidikan agar dapat berdiri sama tinggi dengan negara termaju. Sebagai pengakhiran untuk Baccobok seminit ini, renungi kata-kata yang dipetik dari muka surat 150 di dalam buku ini yang berbunyi :

"Kamu melakukan sains kerana kamu memahami dan meminatinya"- Profesor Mark Bradley.


Artikel ini telah ditulis oleh Pembimbing Pelajar Islam Kelantan.

No comments

Powered by Blogger.