BACCOBOK SEMINIT : BITARA
'Bitara' ialah sebuah buku yang baru diterbitkan pada September tahun lepas merupakan sebuah karya yang dihasilkan oleh Fazril Salleh, seorang aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Peluncuran buku ini telah diadakan di dalam Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-55 yang berlangsung di UNISEL Bestari Jaya.
Buku 'Bitara' ini merupakan sebuah karya yang menghimpunkan kompilasi perutusan dan warkah Presiden PKPIM ketika itu yang juga dijawat oleh Fazril Salleh. Perutusan dan warkah ini sebahagian besarnya digunakan oleh beliau sepanjang memegang jawatan Presiden untuk menyampaikan mesej di media sosial dan media arus perdana mengikut tema acara dan kejadian yang berlaku sepanjang kepimpinan beliau.
Melalui kompilasi sebegini, beliau menyusunnya di dalam satu kerangka mesej-mesej dengan harapan untuk diambil sebagai pedoman oleh aktivis-aktivis mahasiswa dan gerakan Islam khususnya di dalam PKPIM. Fazril Salleh telah mengungkapkan tema yang dibawa beliau di dalam kompilasi ini melalui kata kunci 'kepimpinan', 'keadilan, 'kemuliaan', 'persahabatan', 'kemahasiswaan', 'kebaktian' dan 'kebitaraan'. Kata kunci tersebut menjadi konsep penting yang dilontarkan beliau sebagai panduan pembentukan fikrah aktivis.
Fazril Salleh, juga merupakan pencipta kepada istilah 'Mahasiswa Bitara' yang masih belum digunapakai oleh sesiapa pada waktu itu di dalam negara. Melalui istilah ini, beliau telah mengimplementasikannya sebagai gagasan utama PKPIM bermula kepimpinannya.
Untuk menerangkan faham istilah ini, beliau telah mempersembahkan satu lakaran umum dan menyeluruh bagi menjadikannya sebagai satu konsep yang dapat difahami dengan mudah oleh para aktivis PKPIM pada waktu itu dan akan datang. Beliau menjenamakannya sebagai Lingkung Kebitaraan Mahasiswa yang merangkumi 4 aspek iaitu Idealisme, Aktivisme, Intelektualisme dan Spiritualisme.
Justeru, untuk memahami gagasan 'Mahasiswa Bitara', catatan aspirasi dan idea mendalam tentangnya boleh didapati di dalam buku 'Bitara' ini. Beliau telah menjelaskannya secara tuntas melalui siri-siri catatan warkah dan perutusan mahupun kenyataan media yang disampaikan.
Selain daripada menerangkan tentang konsep 'Mahasiswa Bitara', buku ini juga turut memaparkan pendirian-pendirian PKPIM di dalam isu-isu semasa yang berlaku sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Antaranya seperti isu kebocoran soalan UPSR, polisi PPSMI-DLP, krisis kemanusiaan di Palestin, kritikan terhadap pelaksanaan GST, penentangan terhadap TPPA dan bantahan terhadap AUKU. Oleh itu, untuk mengetahui justifikasi pendirian PKPIM dalam isu-isu tertentu, buku 'Bitara' ini juga merupakan sumbernya.
Akhir sekali, buku 'Bitara' karya tokoh aktivis anak muda ini sebenarnya telah menyampaikan satu mesej universal untuk generasi muda menjadikannya sebagai pedoman pembentukan karakter diri yang unggul. Pembentukan karakter diri yang unggul ini menjadi asas kepada sebarang reformasi yang ingin dilakukan dalam pelbagai dimensi kehidupan. Demikian kesimpulan dibawa penulis buku ini seperti tercatat di muka belakang buku yang bertajuk 'Bitara'.
Post a Comment