KENYATAAN MEDIA : PROGRAM 'GAP YEAR 2017' SATU INISIATIF POSITIF
(SUMBER GAMBAR : NEW STRAITS TIMES)
Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Idris Jusoh di dalam program Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2017 berkenaan program 'GAP Year 2017' atau 1 tahun cuti daripada pengajian bagi para pelajar universiti, pihak Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK) menyokong penuh inisiatif ini yang dijangka akan dilaksanakan bermula September tahun ini.
Program 'GAP Year 2017' ini akan diimplementasikan oleh beberapa buah universiti sahaja sebagai langkah permulaan. Namun begitu, PPIK melihat usaha ini sebagai satu langkah yang memberi impak tinggi kepada usaha melaksanakan agenda transformasi pendidikan tinggi kebangsaan. Peluang cuti setahun ini seperti dinyatakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh di dalam ucapannya, mampu memberikan peluang kepada para pelajar untuk menambahkan pengalaman bekerja di dalam industri dan juga memberi ruang untuk para mahasiswa mengasah bakat mereka di dalam bidang yang diminati seperti seni.
Peluang dan ruang ini boleh dimanfaatkan oleh mahasiswa dan mahasiswi untuk menambah nilai diri sebelum bergelar graduan. Dari perspektif kelebihan dalam industri, mekanisma sebegini dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan dengan bertambahnya tempoh pengalaman mengikuti latihan industri. Sekaligus, menjadi alternatif kepada penyelesaian masalah kesukaran mencari kerja oleh graduan baru yang disebabkan oleh faktor tempoh minimum pengalaman bekerja yang sering dikehendaki oleh majikan.
Selain daripada dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan, inisiatif sebegini juga sebenarnya dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk meluaskan skop pekerjaan atau mekanisma sara diri mereka. Cuti 1 tahun yang diambil boleh memberikan para pelajar peluang untuk mengasah kemahiran dan ilmu luar bidang akademik yang diminati oleh mereka. Penambahan kemahiran melalui bakat ini dapat menjadi alternatif kerjaya yang berbeza daripada bidang yang diceburi sewaktu di universiti. Keadaan ini membolehkan isu penganggugaran dapat diatasi dengan lebih efektif.
Peluang sebegini baik untuk melahirkan mahasiswa yang lebih berdaya saing dan mandiri. Usaha ke arah melahirkan generasi yang kreatif serta masyarakat inovasi juga dapat diselaraskan melalui program sebegini. Hasil daripada dinamika pendekatan pembelajaran seperti ini telah dibuktikan oleh universiti-universiti terkemuka di luar negara melalui kelahiran graduan yang dapat menyumbang dan berpartisipasi secara signifikan di dalam pembangunan negara melalui pelaksanaan idea-idea inovasi di dalam pelbagai bidang terutama bidang perniagaan dan teknologi.
Negara memerlukan generasi yang mencipta dan memimpin inovasi sama ada di dalam bidang teknologi, perniagaan mahupun inovasi di dalam menyelesaikan permasalahan bidang sosial. Kelahiran generasi ini dapat mengangkat negara ke tahap yang lebih tinggi dan mampu berdaya saing di peringkat global dengan kekuatan domestik yang tersendiri. Keusahawanan adalah salah satu lagi aspek yang dapat diserapkan sebagai nilai yang terhasil secara tidak langsung melalui polisi ini.
Sokongan kepada program ini bukan sahaja untuk diukur melalui aspek pembangunan material, sebaliknya, PPIK melihat peluang paling besar yang boleh dimanfaatkan oleh mahasiswa-mahasiswi melalui program 'GAP Year 2017' ini ialah melalui peluang untuk mengembangkan personaliti dan perwatakan individu. Turut dinyatakan di dalam kenyataan Datuk Seri Idris Jusoh, bahawa universiti boleh mengambil peluang cuti 1 tahun ini untuk menjalankan program pembangunan mereka sendiri seperti Program Latihan Khidmat Negara. PPIK menyokong cadangan ini.
Namun, selain daripada inisiatif arus perdana yang dilaksanakan universiti, pihak PPIK ingin mencadangkan agar dimensi pengisian program di dalam waktu cuti ini dapat juga melihat aspek kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dapat menawarkan nilai kesukarelawanan dan kemanusiaan serta aspek-aspek lain yang utama seperti tradisi keilmuwan dan akhlak. Sebahagian daripada aspek-aspek ini tidak dapat dilaksanakan secara intensif oleh pihak universiti.
Kemahiran dan pengalaman NGO serta kreativiti pengurusan dan daya tarik pelaksanaan yang lebih mesra generasi muda banyak dimiliki oleh NGO-NGO. Elemen-elemen ini lebih dekat dengan generasi muda dan dapat dijadikan wahana pendidikan generasi yang lebih efektif. Selain penyuntikan nilai-nilai terbabit, partisipasi para pelajar dengan gerak kerja NGO dapat memberikan pendedahan kepada gerak kerja sebenar di lapangan yang berbeza berbanding di universiti.
Cabaran-cabaran yang dilalui sepanjang menggerakkan program juga lebih bersifat realiti berbanding di bawah naungan universiti. Kejayaan mereka mengharungi modul pendidikan oleh NGO ini dapat menerapkan semangat menyumbang kepada masyarakat yang lebih tulus tanpa mengharapkan sebarang bentuk ganjaran termasuk bentuk pengiktirafan markah ko-kurikulum yang sering diamalkan di universiti.
Kesimpulannya, PPIK menyokong penuh inisiatif Datuk Seri Idris Jusoh ini dan mengucapkan tahniah kepada universiti-universiti yang menunjukkan keberanian melangkah ke hadapan dengan partisipasi awal di dalam pelaksanaan polisi ini. Kualiti mahasiswa Malaysia juga dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi sehingga menjadi 'Mahasiswa Bitara', iaitu mahasiswa yang memiliki kualiti yang tiada tara, tiada bandingannya, justeru, menjadi yang terbaik di dunia. 'Soaring Upwards'.
PRESIDEN,
PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)
(NO. PENDAFTARAN : PPM-025-03-16091994 )
013-270 8265
Post a Comment