MAHASISWA BITARA : APA YANG ANDA BOLEH BUAT SELEPAS SPM?
Sekarang sudah 2 bulan lebih SPM berlalu. Apa yang telah adik-adik buat?
Apa perancangan adik-adik sementara menunggu keputusan peperiksaan keluar?
Bekerja?
Belajar bahasa Inggeris?
Berniaga?
Belajar komputer?
Masuk pondok?
atau
Tidur cukup-cukup dulu?
Sebab nak qadha tak cukup tidur semasa belajar dulu.
Layan cerita?
Tengok drama-drama korea, anime dan filem-filem yang tak sempat dihabiskan masa sekolah?
Mereput?
Atau tengah jadi komando TLDM?
TIDUR, LEPAK DAN DUDUK. Hehe.
Takpe, apa-apa yang sedang adik-adik buat, you know the best for your situation.
Tetapi, kali ini dah masuk bulan kedua adik-adik habis SPM.
Jika tidak sekurang-kurangnya adik-adik merangka dengan jelas tentang hala tuju selepas ini dan apa perkara yang perlu dibuat untuk mencapai hala tuju tersebut, adik-adik sebenarnya sedang menangguhkan waktu-waktu kejayaan dalam hidup.
Kata orang puteh, "If you fail to plan, you plan to fail".
Gerunkan bunyinya?
Ke mana kita nak pergi selepas ini, tiada masalah. Tetapi paling penting, kita perlu tahu apa kita perlu ada dan apa kita perlu buat untuk capai destinasi tersebut.
Abang-abang dan kakak-kakak di PPIK telah melalui pelbagai pengalaman hidup. Pelbagai situasi dan keadaan telah dilalui selepas usia sama dengan adik-adik.
Ada yang manis, ada yang masam, ada ada yang pahit dan ada yang tawar. Ada yang kita fikir sepatutnya buat macam tu macam ni, kenapa aku tak buat dulu?
Jadi di sini kami kongsikan idea-idea aktiviti yang boleh adik-adik lakukan supaya dapat menjadi nilai tambah diri sebelum memasuki alam pasca keputusan SPM.
Apabila nilai tambah diri ini kita asah dan kuasai awal-awal, senang kita nak terbang tinggi dan laju apabila sudah keluar keputusan SPM nanti walau apa pun jalan yang kita pilih selepas ini.
Berikut merupakan cadangan idea-idea yang boleh kami kongsikan :
1. BELAJAR BAHASA INGGERIS
- Belajar sehingga boleh bercakap dengan lancar dan penuh yakin. Boleh menulis dengan susunan ayat dan tatabahasa yang baik dan boleh membaca untuk memahami penulisan dalam bahasa Inggeris dengan mudah.
- Manfaatnya banyak. Salah satu paling penting yang kami fikirkan ialah dengan menguasai kemahiran ini, ia dapat membantu adik-adik belajar sendiri pelbagai ilmu yang luas yang kita minati dalam dunia internet ini. Semua sudah ada di Google.
- Hatta pernah tular berita seorang remaja belajar ilmu kedoktoran melalui internet sahaja. Ada sisi negatif dan positifnya.
- Yang kami nak sampaikan adalah, bahawa di zaman sekarang, dengan menguasai 'bahasa utama' di internet ini, adik-adik boleh belajar apa sahaja yang diminati. sehingga tidak mustahil pandai dengan hanya berguru di internet.
2. BELAJAR PENGUCAPAN AWAM & KEMAHIRAN KOMUNIKASI
- Dengan menguasai ilmu pengucapan awam, adik-adik dapat bercakap dengan lebih yakin di khalayak ramai. Akan ada suatu masa nanti dalam hala tuju pilihan kita itu yang memerlukan kita bercakap dengan orang yang ramai.
- Kalau di universiti, kita perlu lakukan perbentangan di hadapan pensyarah. Kalau orang berniaga, perlu membentangkan kertas kerja untuk pendanaan.
- Setidak-tidaknya, kalau tidakpun adik-adik perlukan kemahiran ini lagi, dengan adanya kemahiran pengucapan awam ini, dapat menjadikan komunikasi kita lebih efektif sewaktu berbicara dengan orang lain dalam urusan kehidupan kita.
- Lalu, hubungan kita dengan sesiapa sahaja menjadi semakin baik. Orang menjadi yakin dengan kita. Paling tidak, ilmu pengucapan ini dapat membantu adik-adik memberi hujah mempertahankan jalan pilihan adik-adik selepas SPM nanti jika ada yang tidak bersetuju. :-P
3. BELAJAR ILMU INTERNET
- Belajar menggunakan internet dengan berkesan. Bukan sekadar untuk melihat cerita di Youtube atau bermain Facebook untuk tujuan hiburan. Cuba belajar bagaimana ingin membuat duit melalui internet. Banyak sangat cara-cara buat duit dengan mudah melalui internet pada zaman sekarang.
- Adik-adik hanya perlu tahu caranya sahaja. Ini dapat membantu adik-adik hidup berdikari tanpa bantuan kewangan daripada ibu bapa atau penyumbang yang lain selepas adik-adik memilih halatuju selepas SPM.
- Sekurang-kurangnya cukup sebagai duit saku menyara hidup sendiri. Dapat bebas merdeka hidup berdikari. Ada yang dah berjaya jadi jutawan muda pun melalui platform buat duit di internet ini. Ramai.
- Ini berdasarkan pengalaman abang-abang dan kakak-kakak di PPIK sendiri. Kami ada seorang 'Sifu' yang mengajar kami dalam bidang ini.
- Selain untuk tujuan buat duit, dengan ilmu internet juga adik-adik ada kemampuan untuk belajar apa sahaja ilmu. Sebab untuk mendapatkan ilmu-ilmu yang tertentu, bukan semudah kita taip di 'Google'. Tapi ada tekniknya yang harus kita tahu.
- Contoh seperti teknik 'data mining'. Mengenal pasti 'keywords' yang tepat untuk mesin dalam internet membantu kita. Dengan ilmu internet, adik-adik boleh membina masa depan sendiri. Ramai sudah buat di Barat.
- Ada yang dapat pergi luar negara secara percuma. Ada yang ditawarkan kerja lumayan melalui kemahiran internet. Ada yang dibayar gaji untuk membantu buat kerja. Macam-macam. Ini kena dengar kami syarah dulu hehe.
4. BELAJAR ILMU KEMAHIRAN KOMPUTER
- Ini lain pula. Sedikit berbeza dengan ilmu internet tadi. Tapi saling berkaitan. Kita panggil ini 'niche' ilmu dalam dunia ICT. Ilmu apa kemahiran komputer? Ilmu seperti membuat 'design', menghasilkan 'video', membuat 'laman web', buat 'software' atau 'apps' dan termasuk ilmu membaiki komputer.
- Belajar dari sekarang ilmu-ilmu ini. Senang nanti apabila masuk ke universiti atau berniaga sendiri atau masuk mana-mana lah, jika adik-adik perlu buat poster atau video atau laman web atau android apps, tak perlu lah nak minta tolong orang atau bayar duit banyak-banyak upah orang lain sedangkan benda boleh dibuat dengan percuma.
- Bahkan, jika adik-adik sudah pandai, adik-adik pula yang dapat buat duit melalui kemahiran ini dengan mengenakan upah atas kemahiran yang dimiliki.
- Kemahiran ini akan banyak membantu sama ada dalam belajar atau berniaga. Masa belajar kita nak bagi hasil terbaik kan?
- Atau masa sertai persatuan pun kita nak persatuan kita dapat buat poster dengan cepat dan cantik. Masa berniaga, iklan kita mestilah nak gempak, cantik dan menawan.
- Masa tu baru fikir nak belajar tak sempat dah. Baik belajar sekarang. Untung berlipat ganda dik.
5. BELAJAR ILMU AGAMA
- Ini bab yang sangat penting bagi kita orang Islam. Masa adik-adik lepas SPM, banyak masa terluang kita ada. Masa inilah kalau nak masuk pondok ke, nak masuk kelas fardhu ain kat luar ke, nak sambung belajar dengan lebih mendalam dengan tok-tok guru ke, inilah waktunya adik-adik.
- Belajar sehingga paling kurang dapat selesaikan asas fardhu ain pun tak mengapa. Jangan bagi ada ilmu asas fardhu ain yang kita ketinggalan. Masa nilah nak belajar betulkan bacaan al-Quran kita, nak betulkan sebutan makhraj huruf, nak belajar asas bahasa Arab bagi memahami isi al-Quran dan khusyuk solat.
- Agama adalah asas kejayaan kita. Percayalah adik-adik, dengan kita mempunyai ilmu agama yang kukuh, kita akan menjadi seorang berjaya dalam apa bidang kita ceburi. Sebab, kehidupan kita di dunia ini milik Allah.
- Kejayaan juga adalah milik Dia. Kita ingin memohon Dia memberikan kita kejayaan hidup, maka kita haruslah kenal Dia. Macam mana kita nak kenal Dia? Belajarlah mengenal Dia melalui ilmu-ilmu agama.
- Paling penting, apabila kita menerima dugaan atau cabaran dalam hidup selepas ini, kita dapat mengharunginya dengan tenang. Hidup selepas SPM akan menjadi makin mencabar. Percayalah adik-adik. Akan ada ujian yang tidak pernah kita lalui sebelumnya, kita akan hadapi. Saat itu, kita terduduk merenungi diri.
- Dengan ilmu agama, kita dapat bangkit balik dan hadapinya dengan penuh semangat waja. Sebab kita faham, bahawa ini semua adalah aturan Allah swt, dan Allah menunjukkan jalan keluar dengan usaha dan inisiatif kita yang mencapai redha-Nya.
- Jika tanpa ilmu agama, kita mungkin boleh jadi gila tertekan hadapi ujian-ujian itu. Bahkan, tidak tahu bagaimana ingin keluar dari saat tersebut.
Demikian perkongsian ringkas 5 idea-idea aktiviti yang boleh dilakukan selepas SPM. Ada banyak lagi yang ingin kami kongsikan berkenaan ini secara lebih dalam, tetapi buat permulaan cukup sehingga itu. Nantikan perkongsian yang seterusnya. Semoga hidup anda lebih cemerlang dan menjadi remaja BITARA.
Membina Generasi, Memaknai Kepemudaan.
Post a Comment