Header Ads

BACCOBOK SEMINIT : RISALAH UNTUK KAUM MUSLIMIN



Buku Risalah Untuk Kaum Muslimin adalah sebuah buku yang mengumpulkan catatan kata lisan YM Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973 ketika beliau bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di universiti tersebut.

Buku ini mengemukakan pandangan Profesor al-Attas untuk membimbing Kaum Muslimin agar terpimpin ke jalan yang benar setelah umat Islam menderitai masalah kekeliruan mengenai Islam yang bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi turut berlaku kepada umat Islam di serata dunia.

Justeru, buku ini memaparkan renungan mendalam Profesor al-Attas yang menyimpulkan bahawa umat Islam masa kini harus memahami dengan betul berkenaan konsep-konsep penting di dalam Islam seperti faham agama, faham keadilan dan faham ilmu. Turut dihuraikan oleh Tan Sri Profesor juga adalah mengenai faham kemajuan, kebudayaan, maksud kebebasan, faham akhlak, kerasulan, bahasa, konsep pengislaman, kesenian, tragedi, akal dan perubahan.

Profesor al-Attas bukan sekadar menghuraikan masalah dalaman yang dihadapi oleh Kaum Muslimin, tetapi di dalam Risalah ini YM Tan Sri telah mempersembahkan satu hasil bedah yang jarang sekali dilihat oleh ilmuwan Islam yang lain, iaitu aspek pensekularan dengan dimulai dari perbincangan sifat-sifat asasi pandangan hidup Barat.

Bagi mereka yang ingin memahami akar permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam kini, buku ini adalah satu bacaan wajib untuk mereka kuasai. Tanpa mahir mengenai perbincangan di dalamnya, maka penilaian kita terhadap permasalahan umat sering kali tidak tepat bahkan lebih teruk, menambahkan lagi masalah di dalam keadaan sedia ada bermasalah.

Profesor al-Attas menyimpulkan kesemua ini sebagai satu faham Pandangan Alam Islam, atau yang lebih dikenali sebagai Worldview of Islam. Dengan mempunyai Pandangan Alam Islam yang kukuh, seseorang Muslim di zaman kini dapat menempuhi cabaran zaman yang datang dengan pelbagai cara yang kompleks, canggih dan serangan yang hebat dari pelbagai penjuru tanpa tergugat atau mencairkan prinsip-prinsip sebagai seorang Mukmin di dalam wilayah diri serta menjadi sumber kekuatan untuk bangun berdiri tinggi membina peradaban Islam.

Buku ini wajar dibaca oleh semua peringkat yang sering kali terdedah dengan cabaran zaman. Para aktivis Islam, mahasiswa, ahli politik, ahli perniagaan dan mereka yang hidup dalam cabaran semasa kehidupan moden perlu menghadaminya. Di pihak PPIK, buku ini dijadikan sumber rujukan untuk silibus usrah yang utama. Begitu juga harapan kami kepada para penggerak aktivisme Islam yang lain.

Sebagai kesimpulan, hayati rangkap-rangkap pantun dan syair yang ditulis oleh YM Tan Sri Profesor al-Attas di dalam buku ini :


Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.

Barus dan Singkel, Pasai dan Ranir,
Silam ditelan masa nan mungkir;
Lupa Jawaban dihafal mahir
Bagi menyangkal Munkar dan Nakir.


Sifat sejarah, menurut orang,
Ibarat pentas bermain wayang;
Cerita lampau dihurai dalang,
'Pabila tamat segera diulang.

Jika demikia mustahil pantang,
Giliran Islam pula mendatang:
Lakonan lama indah gemilang,
Di layar dunia semula terbentang.

No comments

Powered by Blogger.