Header Ads

BACCOBOK SEMINIT : 'THE ALCHEMIST, A FABLE ABOUT FOLLOWING YOUR DREAM'


THE ALCHEMIST ialah sebuah novel yang ditulis oleh Paulo Coelho. Buku ini diterbitkan pada 1988 dengan penulisan berbahasa Portugis. Sehingga Disember 2016, ia telah diterjemahkan ke dalam hampir 69 bahasa di seluruh dunia. 

Novel 'The Alchemist' ini mengisahkan tentang seorang anak muda yang bekerja sebagai pengembala biri-biri dalam perjalanannya ke Mesir untuk mencari harta berharga yang sering kali muncul sebagai petanda dalam mimpinya.

Pengembala muda tersebut bernama Santiago, seorang anak muda dari Andalusia. Santiago sering mengalami mimpi yang sama berulang kali. Mimpi itu seolah-olah memberi gambaran ada petunjuk yang harus dicari olehnya. Lalu, beliau memutuskan untuk mengembara ke kota bagi mencari seorang tukang tilik berbangsa Romawi. Beliau begitu bersungguh-sungguh ingin mengetahui akan petunjuk di sebalik semua ini.

Setibanya di sana, si tukang tilik ini telah menafsirkan bahawa mimpi yang dialaminya itu sebagai petunjuk untuk beliau mencari sebuah harta karun di dalam piramid di Mesir. Lalu, bergeraklah sang Santiago ini bersama biri-birinya memulakan sebuah pengembaraan panjang yang tidak pasti dalam pencarian makna mimpinya itu.

Di awal perjalanannya, beliau telah bertemu dengan seorang raja tua yang bernama Melchizedek. Raja ini mencadangkan beliau untuk menjual biri-birinya untuk sampai ke Mesir. Melchizedek memperkenalkan kepada Santiago tentang sebuah pelajaran kehidupan yang dinamakan 'Personal Legend'. 'Personal Legend' itu adalah tujuan hidup yang bersifat spiritual. Ia adalah dorongan yang menimbulkan kesedaran terdalam dan kesungguhan hidup yang mengatasi lebih daripada tujuan diri sendiri.

Berkata raja itu kepada Santiago, " One’s Personal Legend is what you have always wanted to accomplish. Everyone, when they are young, knows what their Personal Legend is. At that point in their lives, everything is clear and everything is possible. They are not afraid to dream, and to yearn for everything they would like to see happen to them in their lives. But, as time passes, a mysterious force begins to convince them that it will be impossible for them to realize their Personal Legend ."

Lalu ditambah sang raja itu lagi, " when you really want something to happen, the whole universe will conspire so that your wish comes true."



Di dalam perjalanannya ke Mesir, Santiago, sang pengembala muda ini telah terserempak dengan seorang lelaki Inggeris yang mengembara untuk mencari seorang 'Alchemist'. Lelaki Inggeris ini mengajaknya untuk turut sama. Lalu, mereka meneruskan perjalanan bersama-sama mengembara merentasi gurun Sahara.

Kisah percintaan sang pengembala muda Santiago ini berputik sewaktu di dalam perjalanannya di gurun tersebut. Semasa di dalam perjalanannya, beliau telah bertemu dengan seorang gadis yang bernama Fatima. Fatima adalah seorang perempuan Arab yang cantik dan tinggal bersama dengan kabilah keturunannya di oasis.

Santiago jatuh cinta padanya dan mengajak Fatima untuk berkahwin. Namun, Fatima mensyaratkan untuk berkahwin setelah Santiago berjaya menghabiskan dahulu perjalanan asalnya dan menemui harta karun yang dicarinya itu. Santiago kebingungan pada awalnya, namun kemudiannya belajar sesuatu daripada hal ini. Bahawa, cinta sejati itu tidak akan menghentikan mahupun membenarkan terkorbannya 'Personal Legend' seseorang. Jika ia berlaku demikian, ia bukanlah cinta sejati.

Di akhirnya, Santiago menemui 'Alchemist' yang dicari bersama lelaki Inggeris tadi. 'Alchemist' ini juga mengajarkan kepada beliau tentang 'Personal Legend'. Kata sang 'Alchemist', " People want to find only the treasure of their Personal Legends but not the Personal Legend itself .Those who don't understand their Personal Legends will fail to comprehend their teachings." 

Kesimpulannya, novel ini memaparkan satu sudut penceritaan inspirasi yang boleh dijadikan pelajaran penting dalam kehidupan seharian kita. Ramai pembaca-pembaca novel ini mengakui perkara ini dan mereka mendapat manfaat daripada pengajaran yang telah dibawa untuk membantu mereka meneruskan sisi-sisi kehidupan sebagai satu perjalanan. Ia menceritakan sebuah perjalanan mencari makna dan menemui pelbagai cabaran sepanjang pengembaraannya. Ia adalah tafsiran kehidupan kita. Kata-kata hikmah yang melatari novel ini melalui subjek 'Personal Legend' menjadi alat menyampaikan mesej-mesej kehidupan. Sesungguhnya, novel ini telah banyak membantu kehidupan ramai orang di seluruh dunia. Ia tidak sekadar sebuah sastera, bahkan ia adalah satu penulisan motivasi terbaik yang pernah ada.

Keseluruhan tema besar novel ini boleh disimpulkan melalui kata-kata, "When a person really desires something, all the universe conspires to help that person to realize his dream."



No comments

Powered by Blogger.