Header Ads

MISI BAKTI PPIK DI SELATAN THAILAND




LAPORAN AKTIVITI PPIK : ENGLISH CAMP YALA THAILAND
18 - 24 APRIL 2016
.
.
.
MAKLUMAN SEKITAR PROGRAM
.
.
.
Sepasukan fasilitator di bawah kendalian Naib Presiden 1 PPIK, Saudara Aiman Mokhtari (Nick Aeman Jonas) dan Bendahari PPIK, Saudari Farhana Zulkifli telah selesai menjalankan misi bantuan pendidikan di daerah Selatan Thailand yang berlangsung pada 18 hingga 24 April yang lalu.
.
.
.
Projek bantuan pendidikan ini merupakan program berterusan yang telah dilaksanakan PPIK beberapa tahun sebelum ini lagi. Jaringan perhubungan sebegini bertujuan membantu menghakupaya warga Selatan Thai yang menjadi mangsa dalam konflik di sana.
.
.
.
Antara yang menerima kesan daripada konflik ini adalah golongan kanak-kanak. Akses yang diterima kepada mutu pendidikan yang berkualiti tinggi terjejas akibat konflik terutama di dalam penguasaan bahasa Inggeris.
.
.
.
Justeru, inisiatif ini yang dimulakan semenjak dari dahulu ini diharap terus dapat mengekalkan momentum bantuan kepada masyarakat di sana. Sekaligus meningkatkan tahap kesedaran kepada para aktivis sosial di Malaysia akan keperluan cakna terhadap isu Selatan Thailand yang boleh dianggap sebagai 'Palestin Asia Tenggara'.
.
.
.
APA HASIL LAWATAN?
.
.
.
Dengan kehadiran pasukan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK) kali ini, beberapa usaha penghakupayaan strategik telah dibincangkan dan dipersetujui melalui makluman ketua delegasi, Saudara Aiman Mokhtari. Antaranya kesediaan pihak Foundation For Education and Human Resource Development - FEHRD selaku rakan jaringan NGO kami di sana untuk menyediakan satu meja khas PPIK di sana sebagai permulaan hubungan kerjasama berterusan yang lebih padu dalam merencana gerak kerja bantuan dan pemerkasaan.
.
.
.
Dari pihak PPIK, kami berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak FEHRD memberi ruang sebegini rupa kepada pasukan kami. Insya-Allah, semoga dengan kerjasama erat ini dapat kita tingkatkan lagi gerak kerja bantuan dan peningkatan taraf hidup umat Islam di sana secara berterusan.
.
.
.
PANGGILAN TINDAKAN UNTUK ANDA
.
.
.
Resolusi akhir tercapai, pasukan PPIK dengan kerjasama FEHRD akan mengadakan satu lagi projek terbaru sempena Ramadhan ini iaitu 'Program Amal Baju Raya' bagi menaja 1000 anak yatim di Selatan Thailand. Selaku wakil bagi menggerakkannya di Malaysia, PPIK di bawah kendalian Naib Presiden 1 dan pasukan khas kemanusiaan PPIK, SWOT telah melancarkan poster bagi memulakan gerak kerja kutipan sumbangan dan derma. Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat untuk berpartisipasi menyumbang ke arah kerja bakti untuk umat Islam di daerah sana, boleh hubungi Naib Presiden kami untuk urusan lanjut.
.
.
.
Semoga dengan sedikit gerak kerja sebegini dapat membina momentum yang semakin besar dan berterusan dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan saudara seIslam kita di sana. Kami jua menyeru rakan-rakan aktivis lapangan yang lain untuk kita memandang serius dan memberikan fokus baru terhadap isu warga dunia tertindas di negara jiran kita ini. Sekiranya isu Palestin dan Syria mampu mendapatkan empati kita sebagai warga bersama, mengapa tidak untuk saudara terdekat kita di hujung timur kita ini.
Membina Generasi, Memaknai Kepemudaan.








No comments

Powered by Blogger.